Al Muntalaq – BAB 1: Kita Menolak ‘al-hawa’

BAB 1: Kita Menolak ‘al-hawa’

“Jauhkanlah dirimu dari sebarang keinginan yang bukan bernama Islam.”

Amaran Maimun bin Mahran rahimahullah -seorang ahli hadis yang thiqah-

-setiap perkara yang bukan Islam adalah sememangnya nafsu semata-mata, biar  apa jua bentuknya dan di zaman mana jua ia lahir.

-hanya ada satu sahaja kebenaran iaitu wahyu. Selain dari wahyu adalah nafsu yang tercela.

Wahyu …atau Keinginan Hawa Nafsu

Imam Al-Syatibi telah menegaskan perkara ini dengan padat dan ringkas. Kata beliau di dalam kitab “al-Muwafaqat”: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan mengikut hawa nafsu sebagai menentang kebenaran, sebagaimana firman Allah S.W.T.:

يَادَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ

وَلَا تَتَّبِعْ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

(Shaad 38: 26)

Allah berfirman lagi yang bermaksud :

فَأَمَّا مَنْ طَغَى(37)وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا(38)فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى

(An-Nazi’at 79: 37-39)

Allah berfirman lagi pada tentang sifat yang berlawanan dengan hawa nafsu selepas ayat tersebut:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنْ الْهَوَى(40)فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

(An-Nazi’at 79: 40-41)

Firman Allah S.W.T. :

وَمَا يَنْطِقُ عَنْ الْهَوَى(3)إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

(An-Najm 53:3-4)

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa di depan kita hanya ada dua pilihan: Wahyu (syariat), atau hawa nafsu. Tiada pilihan ketiga. Jelaslah bahawa kedua-duanya adalah dua sifat yang berlawanan. Apabila wahyu mengatakan sesuatu itu hak, lawannya adalah nafsu dan apa jua yang mengikut nafsu dengan sendirinya bertentangan dengan yang hak.

Firman Allah lagi :

أَفَرَأَيْتَ مَنْ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ

(Al-Jatsiyah 45: 23)

Firman Allah S.W.T. :

وَلَوْ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

(Al-Mukminun 23: 71)

Firman Allah S.W.T. :

أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ كَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

(Muhammad 47: 14)

Perhatikanlah !  Setiap ayat yang menyebut tentang nafsu, ia mesti dicela dan pengikut nafsu akan dikutuk. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:

“Bila mana Allah menyebut perkataan nafsu ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maksud kenapa diturunkan syariat iaitu untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut runtunan nafsu[1]

Tiada Jalan Tengah Di Antara Syariat dan Keinginan

Itulah juga perintah Allah kepada Rasulullah s.a.w.. Allah S.W.T. berfirman:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

(Al-Jatsiyah 45 : 18)

Syed Qutb berkata di dalam tafsirnya “Fi Zilal al­-Quran” :

”Pilihlah, sama ada mahu menerima syariat Allah ataupun mengikut keinginan orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah di antara syariat yang lurus dan nafsu yang berubah-ubah. Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya bertindak berhukumkan nafsunya. Tiap-tiap sesuatu yang lain dari syariat Allah adalah nafsu yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.”[2]

Demikianlah juga perintah Allah yang kepada orang-orang beriman dengan firmanNya kepada mereka :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

(Al-Baqarah 2: 208)

“Pilihlah di antara petunjuk Allah ataupun tipu daya syaitan. Penegasan sebegini sepatutnya menjadikan seorang muslim tahu dan membuat pendiriannya. Dia sepatutnya tidak berdolak-dalik, bimbang, ragu-ragu atau termangu-mangu dalam memilih kepelbagaian jalan dan haluan yang ada dihadapannya.

Menolak Sebahagian dari Syariat Allah Adalah Kufur

Tetapi penyelewengan dan kesesatan itu ada beberapa peringkat pula:

Antaranya ialah penyelewengan kesesatan kufur ‘pure’ yang membawa pendokongnya ke luar dari Islam. Ini berlaku bila:

– seseorang individu mendakwa tidak yakin dengan kesesuaian hukum-hukum syarak untuk direalisasikan dan menyifatkannya sebagai hukum yang sudah tak sesuai dengan maslahah dan tidak relevan dengan perkembangan zaman dan sebagainya, walhal dia mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hukum syarak tersebut. Perkara ini boleh berlaku pada masalah berhubung soal akidah atau perundangan. Individu tersebut juga tahu bahawa hukum itu telah sabit berdasarkan mana-mana ayat al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w yang mutawatir.

Itulah orang yang dimaksudkan oleh al-Quran sebagai beriman dengan sebahagian kitab Allah dan kufur dengan sebahagian yang lain. Tidak ada khilaf lagi kafirnya orang begini.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah contohnya, terang­-terangan mengkafirkan orang yang beriman dengan sebahagian-sebahagian begini. Beliau membawa dalil-dalil dari Al-Quran. Beliau menerangkan bahawa kafir itu tidak hanya terbatas pada golongan atheis dan golongan yang mengengkari risalah Is­lam secara keseluruhan sahaja, bahkan golongan yang yakin dengan sebahagian risalah, tetapi tidak yakin dengan sebahagian lagi juga adalah kafir.

Firman Allah S.W.T.:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا(150)أُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا(151)وَالَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ أُوْلَئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

(An-Nisa’ 4: 150-152)

Allah berfirman kepada ahli kitab:

ثُمَّ أَنْتُمْ هَؤُلَاء تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ تَتَظَاهَرُونَ عَلَيْهِمْ بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَى تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

(Al-Baqarah 2:85)

Ibnu Taimiyah r.a mentafsirkan ‘taghut’ yang terdapat di dalam ayat ini sebagai sesiapa saja yang mempunyai pendapat yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, tidak kira menamakan dirinya sebagai ahli cendekiawan, raja atau sebagainya.

Beriman kepada Allah tanpa beriman kepada segala perintah dan ajaran Rasul (pemisahan tersebut) hanya membawa kepada kekufuran. Tidak boleh diakui sekali-kali sesiapa yang mengambil jalan tengah dengan mencampur-adukkan agama dengan jahiliyah yang ditempelkan. Mereka itulah orang yang digambarkan oleh al-Quran sebagai golongan yang hendak mengambil jalan tengah di antara Islam dan jahiliyyah. Mereka mencipta jalan ketiga di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia dengan mencampurkan sedikit dari Islam dan sedikit dari jahiliyah lalu diadun untuk dijadikan satu undang-undang bagi mengatur kehidupan manusia.

Kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri-negeri Ummat Islam dan kebanyakan parti­-parti politik dan persatuan sosial pada hari ini tidaklah terang-terang menolak tuhan. Tetapi kebanyakan badan-badan ini menyeru manusia kepada manhaj (cara hidup) dan sistem-sistem yang bertentangan dengan sebahagian dari hukum-hukum Islam. Mereka kadangkala menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sedangkan mereka mengetahui bahawa perkara itu adalah bertentangan dengan syariat Allah.

Ulama’ Islam dan pemimpin gerakan Islam telah menerangkan kepada mereka ini betapa silapnya perbuatan mencampur aduk, menampal-nampal, mencantum­-cantumkan dan iman yang separuh-separuh ini. Meskipun demikian, golongan ini terus berdegil dan terus­-menerus mengajak orang ramai kepada nafsu.

Tidak syak lagi, itu adalah kufur. Wal ‘iya zubillah.

Kita tidak akan Mengkafirkan Seseorang Muslim Tanpa Bukti

-terdapat pula penyelewengan dan kesesatan yang lebih ringan dan lebih kecil daripada yang dinyatakan di atas.

Ibnu Taimiyyah telah berkata: “Ramai ahli salaf telah berkata: كفر دون كفر Ada satu kufur tidak sampai kepada kekufuran, satu nifaq yang tidak sampai kepada munafiq dan satu syirik tidak sampai kepada syirik.”[3]

Maksiat ada pelbagai peringkat. Ada dosa-dosa yang kecil dan ada dosa-dosa besar dan ada juga dosa­-dosa yang terletak antara keduanya. Ia semua dilakukan oleh seorang muslim lantaran dorongan syahwat. Atau ini terjadi ketika dia lemah kekuatan dirinya atau terlupa harga diri. Dia tidak terfikir langsung untuk menentang atau mengingkari syariat tersebut.

Kemungkinan juga dia melakukan dosa tersebut akibat kejahilannya terhadap hukum-hukum syarak. Dia tidak langsung berusaha untuk bertanya orang yang tahu walaupun usaha tersebut tidaklah begitu sukar. Atau kemungkinan dia melakukan dosa tersebut dengan kesilapan penafsiran atau membuat pemahaman sendiri.

Asas kita dalam masalah ini ialah apa yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari rahimullah yang bermaksud:

“Segala maksiat adalah urusan jahiliah dan pembuat maksiat tidak menjadi kafir dengan melakukannya kecuali maksiat syirik. Ini semua berdasarkan Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya engkau seorang yang ada padamu sisa-sisa jahiliah.”[4]

Kamu dapati bahawa hadis Nabi S.A.W. yang dijadikan dalil oleh Imam al-Bukhari ini adalah jelas dan benar. Sabda itu ditujukan kepada Abu Dzar r.a. tatkala beliau mengejek Bilal dan ibunya yang berkulit hitam. Padahal Abu Dzar itu dari kalangan sahabat-sahabat yang hebat dan mulia.

Satu maksiat sahaja adalah satu cabang dari cabang-cabang jahiliah sebagaimana maksud sabda Rasulullah S.A.W tersebut.

Inilah rahsianya mengapa Rasulullah S.A.W memberi amaran agar berhati-hati ketika mengkafirkan individu yang telah zahir keIslamannya, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya:

“Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya[5].”[6]

Inilah juga rahsia yang mendorong Imam Hassan Al­-Banna agak ketat mengenainya di dalam kata-kata beliau di dalam “al-Usul al-’Isyrin” (20 Usul) yang bermaksud:

“Janganlah kita mengkafirkan seorang Islam yang berikrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya berdasarkan satu pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui tentang agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”

Berdasarkan pembahagiaan ini dapatlah kita memahami maksud sesetengah nas Quran atau Hadis, antaranya:

“Barangsiapa yang bersumpah dengan yang lain dari Allah, dia telah syirik”

Syirik ini tidaklah mengeluarkannya dari Islam, tetapi dia telah melakukan dosa yang amat besar. Begitulah seterusnya”[7]

Jiwa yang Beriman Itu Peka dan Sensitif

Kewaspadaan kita dalam mengkafirkan seorang muslim tidaklah menghalang kita dari melihat betapa teruknya penyelewengan yang berleluasa yang telah menimpa sebahagian besar orang-orang Islam di zaman ini. Memang benar… mereka itu umat Islam, tetapi, mereka telah karam di dalam maksiat dan darjat iman mereka menjunam ke taraf yang paling rendah.. jauh sekali dari tahap mulia !

Latarbelakang keadaan ini ada kisah panjang.

Ia bermula dari saat-saat peluasan kuasa dan kesibukan pentadbiran dan pemerintahan. Peluasan dan kesibukan ini secara beransur-ansur memakan korban sahabat-sahabat Nabi saw  saw yang terbaik. Mereka telah terjun ke tengah-tengah medan untuk meneruskan tugas mengembangkan dakwah Islam dengan jihad dan dakwah yang paling cemerlang. Selepas kewafatan Rasulullah, mereka bertebaran di segenap pelusuk bumi laksana sinar matahari untuk menawan beberapa negeri di timur dan barat, menghancur-leburkan segala taghut, membawa rahmat ke seluruh dunia dan memimpin manusia kepada syurga.

Di tahun-tahun yang terakhir sebelum abad pertama Islam berlalu – keazaman di dalam dakwah dan jihad mula kendur sedangkan mereka sepatutnya meneruskan dakwah dan jihad untuk menghapuskan saki baki taghut yang masih ada.

Ketika semangat umat Islam mula menurun itulah, muncullah Umar bin Abdul Aziz, seorang pemimpin Islam yang unik, dilahirkan oleh Allah untuk umat ini. Beliau dikurniakan jiwa yang tinggi. Beliau melihat sedikit penyelewengan dan berlengahan dari dakwah dan jihad itu sebagai tanda awal berlakunya penyelewengan dari kebenaran. Beliau memandang berat keadaan umat jihad yang telah kurang daya juangnya lalu beliau berkata dengan nada dukacita :

”Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa dapat menolongnya kecuali Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang yang kecil telah membesar, orang Ajam[8] telah mahir berbahasa Arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain daripada itu.”[9]

Itulah kalimah yang telah diucapkan khalifah Umar Ibnu Aziz dengan rasa dukacita yang mendalam sedangkan beliau telah memegang tampuk pimpinan umat yang menguasai seluruh bangsa sekitar, tersebarnya kebaikan dan umat berhukum kepada syariat Allah secara umumnya.

Ianya adalah gusaran seorang yang beriman terhadap dosa-dosa kecil, sedikit  bid’ah, kezaliman yang ringan dan wujudnya petanda gaya hidup mewah.

Oleh yang demikian, seorang mukmin itu mestilah sentiasa berusaha mencari kemuliaan yang lebih sempurna. Mereka tidak akan memejamkan matanya dan tidak akan mengelukan lidahnya dari sebarang penyelewengan yang berlaku.

Generasi Kita Yang Terpedaya (Mangsa Keadaan !)

Beberapa generasi telah berlalu selepas zaman pemerintahan Umar. Islam  seterusnya didokong oleh pahlawan-pahlawan Islam dan para reformist. Tetapi sesetengah waktu lain, berlaku juga kelekaan.

Hinggalah kita dapati umat Islam pada waktu ini tunduk kepada perancangan Yahudi dan negara-negara kafir. Kekayaan mereka dirampas, iman menjadi lemah, neraca kehidupan mereka bertukar dan hukum al-Quran telah ditolak ke tepi. Musuh-musuh juga mendidik anak-anak orang Islam dengan ideologi yang bertentangan dengan Islam, berlindungkan pelbagai nama dan kelubung.

Sekiranya masih ada sedikit iman dalam diri mana-mana muslim, masih ada rasa sayangkan agama yang dapat memeliharanya dari keluar dari agamanya, mereka akan menjadi korban pula kepada kepalsuan dan pelbagai topeng. Akhirnya mereka terpedaya dan terikut kepada ahli politik, sasterawan dan orientalis yang tidak benar-benar memahami Islam.

Mereka:

– memperalatkan dalil-dalil al-Quran dan hadis yang umum atau kadangkala dengan hadis-hadis palsu yang dimanipulasi untuk mencipta sistem-sistem politik dan ekonomi yang didakwa atau dilabel sebagai sistem Islam tanpa langsung mengikut kaedah usul fiqh dan memenuhi syarat-syarat ijtihad.

Oleh itu, masalah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini tidak hanya terbatas pada penguasaian pemimpin yang sesat sahaja, bahkan menjangkau kepada persoalan pendidikan.

Korikulum pendidikan dan pelajaran, jawatan-jawatan di universiti, akhbar­-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam di seluruh dunia Islam. Hinggakan orang yang mindanya terperangkap di dalam rencana jahiliah blok barat dan blok timur itu seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan.

Orang Islam yang sukakan maksiat pada hari ini adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya.

Demikianlah perancangan jahiliah sejak dahulu lagi yang diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya. Jika dilihat salasilahnya, akan sampai kepada Firaun.

”Firman Allah S.WT. :

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (Az-Zukhruf 43:54)

Begitulah, musuh-musuh Islam telah memahami vital-spot yang telah diperkenalkan oleh Firaun. Mereka saling merancang dan merangka konspirasi untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam di dalam lumpur noda dan kejahatan. Masyarakat akan sentiasa disibukkan dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akibatnya mereka menjadi penat dan letih dengan perut dan seks dan tiada masa lagi untuk mendengar nasihat dan petunjuk atau kembali kepada agama.”[10]

Demikianlah cara dan taktik mereka. Taktik-taktik kotor, memerangi masjid dengan tempat tari-menari, menggantikan isteri-isteri dengar pelacur-pelacur, menyerang akidah menggunakan professor-professor ‘free-thinker’ dan menewaskan kesenian keperwiraan dengan seni hedonisma.[11] Melalui pendidikan ini, mereka telah berjaya mengubah helang rajawali menjadi burung ‘partridge’.

Anak Singa Diubah Menjadi Kijang Yang Pengecut

Untuk melengkapkan konspirasi ‘penghinaan’ itu, taghut yang zalim telah menindas da’i Islam. Ia dibuat agar sistem pendidikan, media massa dan da n bidang kewartawanan dikuasai oleh golongan yang kononnya hebat, ilmuan dan sasterawan. Melalui kuasa media, mereka mempropagandakan ilmu, sastera, dan retorik ala jahiliah Timur dan Barat. Mereka sadurkan rancangan mereka melalui berbagai-bagai pertubuhan yang kelihatan pada zahirnya berbeza-beza.

Pejuang­-pejuang muda dan anak-anak singa dididik supaya berlembut dan tunduk kepada syahwat, mengikut hawa nafsu, karam dalam keseronokan seks dan kemewahan hidup.

Seterusnya mereka padamkan sejarah umat Islam yang bertamadun tinggi. Mereka hapuskan kisah kisah para ulama’ kerana bimbang ia akan menjadi lampu penyuluh untuk generasi baru muslim, ditakuti menunjukkan jalan kerja kepada mereka semula.

Rancangan mereka telah benar-benar berjaya.

Inilah mercu tanda perancangan kaum Yahudi dan Kristian. Mereka asuh anak anak singa Islam menjadi kijang yang pengecut. Mereka padamkan kisah singa-singa Islam dari kalangan para ulama’, ahli zuhud dan para pejuang Islam dari sejarah abad pertama Islam.

Sistem pendidikan jahiliyah dan taghut Yahudi Kristian ini telah melahirkan kijang-kijang yang pengecut, tidak lagi mampu menerkam. Kijang-kijang ini tidak mahu lagi memikul apa-apa tanggungjawab dan sentiasa cuba melarikan diri seboleh-bolehnya….!

Inilah generasi baru dari putera-putera Islam…!

Mereka itu adalah anak-anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengecut.

Sebenarnya mereka itu adalah putera-putera muslimin yang merdeka,

Mereka diperhambakan, lalu mereka bergembira.

Perancangan mereka telah berjaya. Apa yang berlaku sekarang, kita dapati terdapat sesetengah orang yang ikhlas lebih cenderung untuk beruz1ah, mengasingkan diri dan takut berganding bahu bersama-sama umat Islam.. tidak lain melainkan adalah akibat pengaruh daripada kesan pendidikan tersebut. Ini jelas membuktikan keberkesanan perancangan mereka.

Ianya bukanlah suatu yang menghairankan. Kalaulah mereka telah berjaya menjauhkan ramai orang Islam dari Islam sendiri, maka tentu lebih mudah bagi mereka untuk menjauhkan lebih ramai lagi orang Islam dari sebahagian dari Islam. Mereka meyakinkan kebanyakan orang Islam dengan perlunya mengasingkan diri (beruzlah) dan lebih baik berjaga-jaga dari sebarang kerja yang mengundang risiko kepada mereka (jihad dan amal Islam).

Ketika itu, bermulalah fasa kedua musuh-musuh Islam. Berlakulah proses peralihan cepat dari Islam kepada jahiliyyah…!

Perlunya Pertolongan Segera

Pada hari ini, da’i Islam wajib mengambil pendirian yang dibuat oleh Umar bin Abdul Aziz. Beliau merasakan perlunya tindakan segera diambil untuk menarik kembali umat Islam yang tenggelam dalam kesesatan yang semakin jauh dari Islam. Beliau menyedari bahawa tiada jalan lain baginya kecuali mara dan memimpin mereka meskipun mereka enggan. Meskipun tanggungjawab ini amat menyusahkan dan memerlukan pengorbanan.

Tidak syak lagi… majoriti umat Islam hari ini telah terseleweng dari Islam tanpa disedari dan tanpa niat sedemikian. Mereka sebenarnya layak untuk bersama-sama bekerjasama dengan para da’i untuk mengembalikan seluruh umat ini kepada  Islam. Mereka mampu berbuat demikian sekiranya mereka sedar bahawa selama  ini mereka telah tertipu.

Tetapi da’i Islam dalamasan yang sama melihat.. sama seperti apa yang dikatakan oleh Omar. Perkara ini amat sukar kerana penyelewengan sudah sebati di dalam tubuh generasi ini.

Oleh itu apakah yang mesti dibuat oleh da’i Islam?

Berhenti berusaha? Tinggalkan dakwah dan jihad atau menangguhkannya kepada suatu masa yang lain?

Tidak sekali-kali..!

Kerja-kerja ini tidak boleh ditinggalkan. Kerja Islam tidak mempunyai cacat-cela dan tiada kurangnya. Bukti kemampuannya ialah masih terdapat belia-belia Islam yang bersih jiwanya melagukan ayat-ayat al-Quran di zaman materialisme dan hedonisme ini. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sabar itu kunci segala pintu yang tertutup.

Kerja-kerja ini juga tidak boleh ditangguhkan. Masa tidak berpihak kepada kita jika ditangguh.

Jika, ditangguhkan, semakin panjang pula tempoh bermaharajalelanya si zalim dan semakin kuat pula cengkamannya di dalam jiwa mereka yang hanyut di dalam arus kencang jahiliyyah.

Tiada jalan lain kecuali segera menarik mereka kepada Islam selagi darah masih mengalir pada saraf mereka dan selagi benih fitrah masih terpendam di dalam diri mereka.

Oleh itu, menunggu dan menangguh bukanlah satu tindakan yang sesuai. Justeru, perlu ditambahkan penyertaan baru ke dalam gerombolan kafilah yang merdeka ini.

Bergerak Dalam Pelbagai Pendekatan

Begitulah..

Dengan realiti kewujudan kijang-kijang pengecut dan manusia-manusia yang derhaka dan maksiat;

dan realiti wujudnya pemerintah, ahli­-ahli politik dan individu-individu Islam hari ini yang telah kufur kerana beriman hanya kepada sebahagian dari Islam;

Justeru itu semua, maka wajib diwujudkan gerakan Islam yang menyeru kepada makruf dan kebaikan serta membangkitkan hemmah. Gerakan Islam ini wajib:

-menarik mereka dari cara hidup jahiliah kepada cara hidup Islam,

-melarang mereka dari penyelewengan,

-menyedarkan mereka untuk merealisasikan hukum Islam dan berusaha sungguh-sungguh untuk menegakkan pemerintahan Islam.

Perlu dijelaskan juga bahawa da’i Islam tidak perlu menghukum keseluruhan masyarakat Islam kini sebagai masyarakat jahiliah. Mereka bebas memulakan kerja-kerja dakwah secara serentak dan pelbagai pendekatan yang berbeza.

Apabila da’I memandang kepada kerajaan dan parti politik yang mengamalkan sistem hidup yang bertentangan dengan syariat Islam, melihat individu yang memegang falsafah jahiliyyah, yang menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal dan menyangkal sebahagian dari iman; mereka melihat dengan pandangan yang marah, menganggapnya kafir dan mengambil pendekatan menentang mereka dengan tegas dan keras.

Pada waktu yang sama, para da’i hendaklah menggunakan pendekatan­-pendekatan lain terhadap orang-orang Islam yang membuat maksiat melalui berbagai-bagai cara pengucapan. Di antaranya:

Teguran kasih sayang yang bertujuan menyedarkan mereka terhadap kerja-kerja secara berjamaah. Kaedah ini sesuai bagi individu yang telah menyempurnakan perkara-perkara fardhu, beriltizam dengan hukum-hukum Islam dan menyuruh manusia berbuat baik sesuai dengan inisiatif sendiri.

Kadangkala menggunakan intonasi lembut dan penuh kasih .

Menggunakan bahasa yang lemah lembut disulami rasa kasih.

Menggunakan bahasa marah dan peringatan yang keras terhadap mereka yang membuat dosa besar, zalim dan mabuk di dalam kejahatan.

Semua cara di atas boleh digunakan di dalam masa yang sama dan di dalam masyarakat yang sama.


[1] Al-Muwafaqat, Juzu’ 6, m.s. 121

[2] Fi Zilal Al-Quran, Juzu’ 25, m.s. 136

[3] Ibid, Juzu’ 11, m.s. 140

[4] Sahih al-Bukhari, Juzu’ 1, m.s. 15

[5] Jika saudaranya bukan kafir, maka dialah yang menjadi kafir lantaran kata-katanya itu.

[6] Sahih Muslim, Juzu’ 1, m.s. 57

[7] al-Sharh al-’Iraqi li al-Usul al-’Isyrin” (Penjelasan al-Iraqi Terhadap Dua Puluh Usul) hlm. 55

[8] Selain dari bangsa Arab. (Pnt)

[9] Ibnu Abdul Hakim, Sirah Umar bin Abdul Aziz, m.s. 37

[10] Ibid., m.s. 122

[11] al-Rafi’I, Wahyu al-Kalam, Juzu’ 2, m.s. 258

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: