Mustafa Masyhur – Jalan Dakwah : Beberapa Halangan Di Atas Jalan Yang Kita Lalui (1)

BAB 8

Beberapa Halangan Di Atas Jalan Yang Kita Lalui (1)

Jalan dakwah adalah jalan yang mulia dan mahal. Sesungguhnya itulah jalan syurga dan diredhai Allah, itulah jalan Allah. “Hai Tuhan kami, tetapkanlah tapak-tapak kaki kami di atas jalanMu”. Dia itu adalah jalan yang dipenuhi dengan segala perkara yang dibenci oleh hawa nafsu dan bukanlah merupakan jalan yang ditaburi bunga-bunga yang mewangi. Beberapa banyak rintangan yang menghalang dan beberapa banyak penyelewengan yang mungkin terjadi dalam beberapa aspek yang menjauhkan orang yang berjalan di atasnya dari jalannya.

Seorang Muslim yang telah menyedari pengertian iman di dalam dirinya dan hatinya merasa bertanggungjawab terhadap Islam mestilah mencari-cari jalan dakwah yang hendak dilaluinya. Dia mestilah mengetahui manhaj atau cara bekerja dan beriltizam dengannya. Setelah itu dia wajib mempunyai pengetahuan mengenainya mempunyai kesedaran dan keyakinan supaya dia tidak mudah tergelincir dan terpesong. Supaya dia tidak tersungkur dengan satu halangan.

8.1 Di Antara Rintangan dan Penyelewengan

Terdapat perbezaan yang jelas di antara rintangan dan penyelewengan. Jalan yang menyeleweng itu membawa orang yang melaluinya terpesong dari jalan yang sahih. Maka selagi dia tidak berusaha memperbaiki dirinya dan meninggalkan penyelewengannya, semakin hari dia akan bertambah jauh dari jalan sebenar terutamanya oarng-orang yang berkobar-kobar semangatnya. Ada kalanya dia susah untuk kembali semula ke jalan yang sahih dan lurus kecuali dia mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

Sekiranya kita membuat tinjauan, nescaya kita akan dapati beber golongan dari kelompok-kelompok Islam yang pelbagai rupa, bentuk namanya itu lahir dan muncul di dalam sejarah perkembangan dakwah Islam, adalah lahir dari penyelewengan fikrah dan harakah.

Rintangan-rintangan itu biasanya melintangi di tengah-tengah jalan dakwah, merintangi para da’i, menahannya, melemahkan keazaman, mengelirukan fikirannya, merosakkan usaha dan natijah dakwahnya dan menjadikan seperti orang lain yang tidak mempunyai bekas, tidak mempunyai pengaruh dan tidak bernilai langsung.

Penyelewengan dan rintangan itu berupa ujian dan halangan yang biasanya menimpa orang-orang yang beriman. Berdasarkan firman Al yang bermaksud:

“Alif Lam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orana yang berdusta”.

Al-Ankabut: 1-3

Setelah kita menyentuh mengenai penyelewengan di dalam tajuk yang lepas, kita akan menyentuh pula tentang rintangan-rintangan ini di dalam tajuk ini memandangkan sebahagian dari saudara saya yangdimuliakan telah mengingatkan saya bahawa pembicaraan mengenai penyelewengan ini sangatlah penting kerana berbahaya, lebih-lebih lagi di masa ini dalam sejarah dakwah Islam, memerlukan penjelasan yang lebih lanjut lagi. Oleh itu kita akan kembali membincangkannya setelah kita selesai membicarakan tentang rintangan-rintangan itu. Wabillah hittaufik.

8.2 Rintangan-rintangan dan Halangan-halangannya

8.2.1 Manusia Meninggalkan Dakwah

Rintangan pertama di jalan dakwah yang dihadapi oleh para duat ialah manusia berpaling dari mereka dan tidak mempedulikan mereka kecuali yang telah diberi hidayat oleh Allah. Sekiranya dugaan-dugaan sedemikian rupa membuat mereka merasa susah, melemahkan keazaman mereka dan mereka tidak berpuas hati dengan sambutan yang telah diperolehi, maka dia telah gagal di permulaan jalan dakwah. Janganlah diharapkan lagi mereka ini untuk meneruskan jalannya bersama angkatan para pendokong dakwah kepada Allah.

Wajiblah setiap orang yang melalui jalan dakwah ini mempersiapkan dan memantapkan dirinya di atas jalan dakwah, walau bagaimana susah pun. Dia mestilah dapat memahami bahawa untuk mendapat sambutan dan mencapai hasil yang memuaskan bukanlah satu perkara yang mudah kerana pendokong dakwah itu menyeru manusia kepada perkara yang berlainan dengan kehendak nafsu mereka, mengajak mereka meninggalkan beberapa kepercayaan yang sesat dan berbagai-bagai adat lapuk jahiliah.

Lantaran itu, para da’i mestilah bersabar dan terus bersabar dalam menyampaikan dakwah walaupun berpaling daripadanya atau tidak memberi perhatian terhadap dakwahnya. Kita mengambil teladan dan qudwah hasanah pada diri Rasulullah s.a.w. di dalam urusan dakwah ini kerana baginda adalah manusia yang paling tinggi, ideal dan paling mulia bagi para pendokong yang menyeru manusia pada jalan Allah. Dari sirah Rasul, kita dapati baginda terus menawarkan diri dan dakwahnya kepada kabilah-kabilah dan suku-suku bangsa Arab di pasar-pasar walaupun mereka berpaling dari baginda malah mereka mempersenda-senda dan menganggu baginda. Baginda juga merantau ke beberapa ternpat yang jauh dan mengalami berbagai-bagai kesulitan semasa menyampaikan dakwah Islam.

Kita juga dapat mengambil teladan yang baik di dalam pengertian ini dari kisah-kisah yang dihidangkan oleh Al-Quran tentang bagaimana unggulnya kesabaran nabi Nuh a.s. dalam menyeru kaumnya kepada agama Allah. Dia sanggup bertahan dalam menyeru mereka kepada Allah selama 950 tahun walaupun mereka berpaling daripada baginda menganggu baginda. Firman Allah:

“Nuh berkata: ‘Ya Tuhan ku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang maka seruanku itu hanyalah menambah meraka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sombongnya. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka kepada iman dengan terang-terangan kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan cara rahsia”. Nuh: 5-9

Demikianlah kesungguhan dan kesabaran nabi Nuh tatkala menyeru kaumnya kepada Allah siang dan malam, secara rahsia dan terang-terangan tanpa jemu dan putus asa.

Kita juga mendapat ibarat dan pengajaran dari kisah nabi Yunus; dengan kaumnya. Dia meninggalkan kaumnya dengan perasaan kerana mereka berpaling daripadanya dan tidak menyambut seruannya lalu Allah memberikan pengajaran kepadanya (ditelan ikan Nun). Ini juga iktibar dan pengajaran kepada para pendokong dakwah kepada Allah.

“Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan”.Al-Ma’idah: 99

Para duat ila Allah diwajibkan menyampaikan dakwah Islam kepada manusia. Mereka tidak dipertanggungjawabkan akan keberhasilannya dan hanya Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa memberi hidayah.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi hidayah kepada seorang yang kamu kashi, tetqapi Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya”. Al-Qasas: 56

Wahai saudara tatkala kamu menyeru manusia kepada Allah dan orang itu menerimanya dengan segera, itu adalah semata-mata kerana kurniaan Allah. Sebaliknya jika dia menolak dakwah dan berpaling darimu mungkin pada satu hari kelak dia teringat apa yang telah kamu serukan kepadanya lalu dia sedar dan kembali kepada jalan Allah dan saudara hanyalah menjadi faktor penyebab kepada hidayahNya. Sekiranya dia terus mabuk di dalam kesesatannya dan kebodohannya walaupun kamu telah memberikan berbagai hujah di atasnya maka kamu telah menunaikan kewajipan kamu terhadapnya.

Kita mestilah menyedari hakikat bahawa orang yang kita seru kepada Allah dan kebaikan itu sebenarnya sedang berada di dalam keadaan lupa dan lalai. Oleh itu mereka tidak sedar dan tidak insaf. Orang seperti itulah yang utama diseru dan diberi peringatan sehingga mereka sedar dan ingat kembali. Janganlah kita menyangka bahawa sambutan mereka yang pertama kepada dakwah telah mencukupi dan memadai untuk meneruskan dan mengekalkan kesedaran mereka terhadap tugas mereka kepada Allah dan kepada Islam supaya mereka terus berjalan di atas  sirat al-mustaqim. Sekiranya kamu membiarkan mereka beberapa ketika tanpa peringatan, pendidikan dan tanpa bimbingan seterusnyq berkemungkinan mereka akan kembali semula kepada suasana lupa dan lalai. Lantas kita menyangka bahawa mereka telah berpaling dari kita dan dari dakwah Islam padahal pada hakikatnya, kitalah yang melupakan mereka dan mencuaikan mereka. Jadi kitalah sebenarnya yang bersalah.

8.2.2  Persendaan dan Ejekan

Tabiat diri kita mudah marah apabila dipersendakan dan diganggu oleh orang lain. Berkat naungan Islam pada umumnya dan penglibatan dalam bidang dakwah pada khususnya itu diwajibkan melatih diri kita supaya menerima segala gangguan, persendaan dan penghinaan yang menimpai kita di jalan dakwah Islam. Sebenarnya semua ini tidak sedikitpun mengurangi darjah kemuliaan kita. Ambillah uswah hasanah (contoh teladan) yang baik dari diri Rasulullah s.a.w. sendiri yang telah menerima pelbagai persendaan, ejekan dari kaum musyrikin. Mereka telah melemparkan baginda dengan berbagai tuduhan palsu malah menuduh baginda sebagai pendusta, tukang sihir dan orang gila. Lebih dari itu mereka mengganggu, menyiksa, memujuk baginda, akhir sekali mereka menawarkan kepada baginda berbagai kemewahan hidup yang istimewa, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mengusir baginda dari negeri baginda tetapi semuanya itu tidak memalingkan-baginda dari dakwah, bahkan baginda terus mengembangkan dakwahnya dengan lebih giat lagi sambil berdoa kepada Allah supaya Allah memberi hidayah kepada mereka, dengan bersabda:

“Hai Tuhanku berikanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui”.

Dengan uslub al-hakim (cara yang bijaksana) seperti itu Rasulullah s.a.w. telah berjaya menawan beberapa hati yang tadinya tertutup dan menarik beberapa ramai manusia kepada Islam yang tadinya berpaling daripada baginda dan yang selama ini menentang baginda. Benarlah Allah Yang Maha Agung apabila berflrman bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia kepada Allah dan beramal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”. Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Dan tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar”.

(Fusillat: 33-3)

Para da’i tidaklah boleh sekali-kali marah kepada dirinya. Janganlah dijadikan persendaan dan gangguan manusia kepadanya sebagai satu satu sebab yang membawa dia berpaling dari tugas yang mulia ini atau menyebabkan dia berhenti dari usaha dakwah, jadilah kamu seperti apa yang dikatakan oleh Imam As Syahid Hassan al-Banna:

“Jadilah kamu dengan manusia seperti pokok buah-buahan yang mereka lempari dengan batu tetapi pokok itu sebaliknya melmpari manusia dengan buah-buahnya”.

8.2.3 Penyiksaan

Penyiksaan dari puak jahiliah terdiri dari berbagai rupa dan warna dan datang dari berbagai-bagai sudut. Penyiksaan terhadap jasmani, rohani dan gangguan terhadap harta, ahli keluarga dan masyarakat, ataupun pemerintah yang sedang berkuasa yang zalim. Mereka inilah semuanyg yang diseru kepada Allah s.w.t. supaya kembali kepada Islam. Ataupu gangguan-gangguan itu datang dari musuh-musuh Allah dan penganuti kebatilan dari markas kelemahan mereka. Kita tidak berkata dari markas kekuatan mereka kerana mereka sebenamya lemah, apabila mereka tidak dapat mematahkan hujah-hujah pendokong dakwah Islam, mereka menggunakan cara yang lemah iaitu dengan menerkam, memukul, mencengkam dengan kuku besi mereka dan menyiksa para pendokong kebenaran kerana mereka menganggap dan menyangka bahawa kekejaman, pembunuhan dan penyiksaan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu akan menghapuskan suara kebenaran ataupun memadamkan nur Ilahi dan sinar Islam. Tetapi sangkaan mereka pasti menemui kegagalan.

“Mereka mahu memadamkan nur Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir”. At-Taubah: 32

Inilah dia sunnah Allah dalam dakwah untuk pendokong dakwah yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan akan terus berlaku sepanjang umur manusia di muka bumi ini.

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dam kesengsaraan, serta digoncangkan (bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. Al-Baqarah:214

Jadi apabila para du’at tidak redha menerima gangguan dan penyiksaan seperti ini, tidak sabar menanggung sengsara, tidak mengharapkan pahala dari Allah dan hanya mengutamakan kenyamanan ‘afiat dan keselamatan. Gejala ini akan menimbulkan akibat yang merugikan agamanya, merugikan kedudukannya dalam menegakkan kebenaran, malah ia redha duduk dan tinggal bersenang-senang di rumahnya menjauhkan diri dari jihad dan dakwah. Tidak mahu lagi meneruskan perjalanan di jalan dakwah dan tidak mahu lagi mengumandangkan suara dakwah dan kebenarannya. Akhirnya dia mengalami kekalahan yang total di dalam melintasi rintangan itu. Dengan sendiri dia mengharamkan dirinya dari mencapai kemuliaan angkatan mujahidin dan ketinggian darjah pendokong dakwah. Allah pasti menggantikannya dengan orang lain yang lebih redha berjihad pada jalan Allah tanpa takut kepada cercaan sesiapa pun.

“Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).” Muhammad: 38

Pada hakikatnya Allah Maha Kaya dari kita dan jihad kita.

“Barangsiapa yang berjihad maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam).” Al-Ankabut: 6

Oleh kerana itu wajiblah ke atas para da’i ilallah memperkuat azam mereka, mengukuhkan kemahuan mereka sejak bermulanya langkah pertama di atas jalan dakwah. Bersedia menanggung segala sengsara dan gangguan dari manusia, meminta bantuan hanya kepada Allah mengutamakan apa yang ada di sisi Allah, membulatkan keyakinan dan mempercayai dengan sepenuh jiwa raga bahawa segala bala bencana asalkan bukan neraka adalah baik belaka. Maka janganlah menyerah kalah berhadapan dengan kebatilan yang sedang menggug dan mengancamnya. Sesungguhnya pada Rasulullah itu ada teladan yang baik. Qudwah hasanah yang telah ditunjukkan oleh sahabat-saha Rasulullah s.a.w. di dalam menanggung sengsara penyiksaan dan gangguan tetapi bersabar di atasnya sepatutnya menjadi ikutan. Bersama kesusahan itu ada kesenangan dan bahawa gangguan dan gigitan itu merupakan alamat baik dan berita gembira dan kemenangan serta pertolongan dari Allah.

“Dan sesungguhnya telah didustakan Rasul-rasul sebelum kamu akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan terhadap mereka, sampai datang pertolomgan kami kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang dapat merubah kalimah-kalimah (janji) Allah”. Al-An ‘aam: 34

8.2.4 Kelapangan dan Kesenangan Selepas Kesusahan

Para pendukung dakwah yang muslim, pada biasanya mampu menghadapi bukit-bukit rintangan yang telah lalu yang berupa penolakan manusia, persendaan mereka serta gangguan dan penentangan mereka. Dengan penuh kesabaran, ketahanan, kesedaran dan kewaspadaan mereka mengumpulkan segala tenaga yang ada pada mereka untuk menghadapi cabaran pihak-pihak pendokong kebatilan jahiliah dan akhirnya mereka mencapai kejayaan. Kekuatan, kemahuan dan jiwa mereka tidak pernah lemah dan luntur walaupun menghadapi kesusahan hidup, kerosakan dan keburukan suasana serta pelbagai gangguan dan penindasan dari pihak yang menentang dakwah. Sehingga akhirnya Al­lah menghapuskan kesusahan, kesulitan dan meringankan tekanan dan gangguan sama ada seluruhnya atau sebahagian daripadanya. Biasanya pertolongan Allah ini akan mengurangi kepayahan dan keletihan serta menimbulkan kerehatan dan kelapangan untuk ketenangan saraf dan ketenteraman jiwa demi memperbaharui kegiatan dan kecergasan. Di sinilah lahirnya pula satu bukit halangan yang tidak terduga. Ketenangan jiwa, ketenteraman warna suasana penuh kerehatan dan kelapangan kadang-kadang melalaikan kita, lantas kita menyerah kepadanya dan terus terlelap dan enak di dalamnya. Terutamanya apabila kerehatan dan kelapangan itu disertai oleh kemewahan atau kesenangan hidup.

Kadang-kadang orang yang terdedah kepada bentuk rintangan seperti ini akan mencari-cari dan mereka-reka berbagai alasan untuk membenarkan tindakannya yang tidak sesuai dengan harakah dan merugikan dakwah Islam dan jihad. Sikap ini hanyalah semata-mata bertujuan untuk mengurangkan tekanan jiwa lawwamahnya (jiwa yang menyesali). Akhirnya kerehatan dan kelapangan yang terbuka itu menjadi sempurna tanpa sebarang tekanan. Oleh kerana itu, pendokong dakwah yang benar janjinya kepada Allah dan benar niatnya untuk berdakwah dan telah menjual dirinya dan hartanya kepada Allah, mestilah menyedari dan menginsafi perkara ini dan hendaklah berterusan melepasi rintangan demi rintangan tanpa tersangkut dan tersungkur padanya. Saudara-saudaranya pula mestilah menarik tangannya dan menolongnya untuk bangkit kembali meneruskan jihad dan perjuangannya di jalan Allah. Dakwah Islam sentiasa memerlukan usaha dan tenaga yang maksima supaya bidang dakwah sentiasa subur dan mekar. Alhamdulillah.

Kemenangan dan kelapangan yang terluang tadi hanyalah merupakan alat (peluang) untuk memperbaharui kekuatan, kegiatan.

“Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah” Al-A’raaf:58

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: