Mustafa Masyhur – Jalan Dakwah : Lagi……Mengenai Penyelewengan

BAB 6 Lagi……Mengenai Penyelewengan

Memandangkan pentingnya di beri perhatian kepada penyelewengan dan betapa bahayanya dan kerana menyambut saranan beberapa orang ikhwan, wajarlah kita membincangkannya sekali lagi untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut di samping kita beriltizam untuk tidak menuduh dan buruk sangka kepada sesiapa pun. Yang paling kita utamakan di sini ialah golongan pemuda Islam yang berminat untuk merealisasikan kebaikan untuk Islam. Kesalahan di dalam konsep, kedangkalan di dalam kefahaman itulah yang membuat mereka tergelincir dan terpesong. Mereka tergelincir dan terseleweng dari segi fikrah dan harakiah. Semakin hari semakin bertambah penyelewengannya dan terus terpesong dan tersalah di dalam berbagai kegiatan dan tindak-tanduknya kecuali jika mereka diberi rahmat oleh Allah dan dibawaNya kepada Siratul-Mustaqim – jalan yang lurus.

“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain lalu kamu dicerai-beraikan dari jalan-Nya, demikianlah Allah mewasiatkan kepada kamu agar kamu bertaqwa”. (Al-An’aam: 153)

6.1 Kontradiksi dan Kesulitan

Seseorang muslim yang ghairah dan memandang disekitarnya akan mendapati masyarakat kita penuh dengan kontradiksi dan pertentangan yang hebat di antara waqi’ (realiti) yang merosakkan masyarakat ini dengan bentuk dan konsep yang dikehendaki oleh Islam untuk masyarakat Islam. Dia akan dapati bahawa kehidupan di hari ini ditimpa oleh wabak dosa, dilanda kemungkaran dan dilumuri maksiat lahir dan batin. Di satu pihak yang lain pula dia mendapati kehidupan Islam yang bersih dari semua itu. Lantaran itu dia berdukacita dan berasa sangat hiba. Manakah yang mesti dipilih dan diikut?

Adakah dia akan menyerah bulat-bulat kepada realiti dan bersikap negatif seperti kebanyakan orang yang dengan mudah boleh melupakan segala apa yang diwajibkan Islam. Islam mewajibkannya berusaha mengubah realiti dan suasana yang rosak itu dari terus terbenam ke lembah maksiat dan mungkar menukarkan suasana dan kenyataan itu kepada bentuk Islam hingga menjadi suasana dan realiti Islam. Ataupun dia mesti bersikap positif, tegas dan tangkas lantas menyahut seruan akidahnya yang mendesak. Sikap ini nanti memberi dorongan kuat kepadanya supaya dia bekerja dan berusaha merubah suasana yang rosak itu kepada suasana Islamik. Biasanya dia akan memilih yang kedua itu kerana akidah sebenarnya mempunyai kuasa yang kuat ke atas jiwa manusia. Tatkala itulah dia akan memikirkan segala tindakan, cara dan jalan. Hal ini terutamanya berlaku di kalangan anggota yang baru dilatih dan kurang pengalaman. Jika sekiranya tidak ada sesiapa yang memberi tunjuk ajar dan membimbingnya kepada jalan berfikir, berusaha dan tindakan yang sihat, mungkin dia akan memilih jalan yang menyeleweng dan terus terdorong di dalam penyelewengan sedangkan dia masih menganggap yang dia tetap di atas jalan yang benar dan cara yang bijaksana, lalu ia menyalahkan usaha orang lain yang tidak bersetuju dengannya. Ini akan membahayakan usahanya dalam rangka membawa kabaikan kepada Islam dan Muslim.

6.2 Siapakah Yang Bertanggungjawab

Apakah kita patut menyalahkan si penyeleweng itu sendiri dan mengganggap dia sahaja bertanggungjawab terhadap penyelewengannya pada hal kita tahu niatnya baik ? Ataupun kita periksa dan teliti  sebab-sebab  sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan perkara tersebut berlaku. Kekosongan jiwa agama yang dihayati oleh golongan pemuda, kontradiksi yang maha hebat di antara realiti masyarakat yang rosak dengan idealisma masyarakat Islam yang dicita-citakan, penindasan, gangguan dan penyiksaan yang dahsyat yang ditimpakan kepada para duat. Ditambah lagi dengan melihatkan kekuasaan berada di tangan golongan perosak dan para jaguh kejahatan yang bebas bertindak sesuka hati sedangkan jamaah Islam yang bertanggungjawab mengumpulkan dan mendidik para pemuda yang berminat dan mahu bekerja untuk Islam di dalam keadaan lemah dari segi tanzimnya. Sepatutnya jamaah inilah yang mengarahkan, menunjukkan dan membimbing mereka melalui jalan dakwah menurut perjalanan RasuluUah di zaman silam, begitu juga kita berjalan di atasnya pada hari ini dan seterusnya hingga kita menemui Allah.

Inilah faktor utama yang membawa para pemuda kepada penyelewengan. Mereka tergelincir dari segi fikrah dan harakah (gerakan). Umpama kita melihat hukum-hukum yang membahayakan akidah orang lain disebarkan dengan mudah tetapi yang melibatkan kedudukan, muamalah, solat dan urusniaga pula berdasarkan kepada hukum-hukum dan fatwa yang merbahaya, begitu berani dan tergopoh-gapah. Ataupun lahir pula bentuk-bentuk amal yang mendadak akibat dorongan sikap tergopoh-gapah serta akibatnya dan demikianlah seterusnya. Jadi dalam hal ini kita mesti berusaha mengatasi sebab-sebab yang hakiki itu sekiranya kita hendak merawat punca sesuatu masalah.

Kita mestilah merasakan bahawa menjadi kewajipan kita supaya menerangkan kepada para pemuda Islam tentang jalan yang benar dan sahih untuk fikrah dan amal Islami di dalam perlaksanaan kalimah-kalimah ini berpandukan pengalaman generasi silam dengan mengharap hidayah dan taufik dari Allah.

6.3 Syumul dan Berpandangan Jauh

Kita mestilah mempunyai pandangan yang syumul (lengkap) dan mendalam dalam kita bekerja untuk Islam kerana urusan ni bukanlah semata-mata hanya melayani semangat dan tindakan-tindakan yang

tidak mengambilkira sebarang akibat dan natijah. Pengalaman dan ujian pahit masa lalu telah menunjukkan kepada kita bahawa semangat yang meluap-luap bukanlah bukti kekuatan iman penganutnya, malah ia menunjukkan kedangkalan jiwanya dan kurangnya persediaan serta tidak bersabar di atas kesusahan jalannya. Biasanya terlintas di fikiran mereka bahawa emosi, lonjakan dan semangat yang meluap-luap itu kononnya dapat merealisasikan sesuatu untuk Islam yang tidak dapat direalisasikan oleh orang sebelumnya. Lebih melampau pula mereka menuduh orang yang tidak bersetuju dengan lonjakan emosi dan luapan semangat sebagai orang yang bacul dan lemah.

Sesungguhnya tugas, kewajipan yang diusahakan oleh para duat untuk merealisasikan batas Islam adalah besar dan agung. Bukan hanya sekadar perubahan sampingan atau sebahagian atau tempatan. Sesungguhnya ini adalah perubahan yang menyeluruh iaitu membangunkan daulah Islam yang global kerana dakwah kita adalah bersifat sejagat dan untuk seluruh manusia. Musuh dakwah Islam juga merupakan dunia antarabangsa, tidak hanya di suatu tempat tertentu sahaja. Dunia hari ini bukanlah dunia semalam. Pengaruh alat-alat komunikasi yang moden tidak meninggalkan sesuatu bahagian dari bumi ini terasing dari yang lainnya. Segala peristiwa yang berlaku di suatu bahagian bumi menimbulkan reaksi yang cepat di seluruh dunia yang mesti diberi perhatian dan perhintungan yang sewajarnya.

6.4 Jalan Yang Sahih

Sesungguhnya kebesaran tugas ini, banyaknya rintangan dan penindasan, berleluasanya pengintipan musuh-musuh Islam terhadap kebangkitan Islam dan harakah Islam, tidak dapat dijadikan alasan dan sebab untuk meninggalkan kerja dan usaha untuk Islam.

Perlulah diubah kenyataan yang batil dan membangunkan daulah yang hak, tetapi mestilah dengan jalan yang sahih dan benar. Menanam kukuh asas akidah di dalam jiwa, mendidik dan mempersiapkan generasi mukmin yang benar dan mampu bangkit membuat perubahan, membangunkan rumahtangga muslim yang menjelmakan Islam dalam seluruh kegiatan dan aspek kehidupan, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh memenangi public opinion (pandangan orang ramai) supaya mereka memihak kepada dakwah Islam. Faktor-faktor ini merupakan dasar yang teguh untuk membangunkan undang-undang dan daulah Islam. Inilah jalan yang sahih dan benar untuk menegakkan dan memenangkan dakwah Islam di muka bumi ini tanpa bergopoh-gapah untuk mencapai hasil. Ini kerana sesungguhnya masa itu diukur dengan umur dakwah bukan umur perseorangan.

Mungkin ada orang berkata: “Jalan ini lambat dan tidak mungkin melahirkan cita-cita yang diharapkan. Lebih-lebih lagi dengan adanya cangkul peruntuh iaitu setiap persiapan dan kelengkapan yang dibawa oleh pendokong kebatilan, lalu dengan mudah diruntuhkannya satu demi satu”.

Kita jawab: “Sesungguhnya pendapat ini tidak benar tidak sihat kerana sejarah mendustakannya. Sirah Rasullulah s.a.w. mengatakan dan menegaskan bahawa sesungguhnya dakwah Allah yang  dikumandangkan oleh Rasulullah s.a.w. telah berjalan di atas jalan seperti ini, di dalam suasana yang serupa di zaman ini, namun demikian baginda dapat memantapkan dasar-dasarnya”.

Akhirnya Allah memberi kemenangan kepada baginda walau bagaimana besar sekalipun penentangan pendokong kufur dan kebatilan dengan segala tipu daya mereka dan cangkul peruntuh yang cuba membinasakan usaha baginda. Kelengkapan kufur dan jahiliah tidak mampu meruntuhkan asas dan dasar orang yang beriman lantaran kekuatan iman dan kejituan akidahnya dan sekarang sejarah akan mengulangnya lagi. Allah akan memberi kemenangan kepada yang hak dan menghapuskan yang batil walaupun dibenci oleh golongan penjajah dan kufur dan benarlah Allah Yang Maha Agung di dalam firmanNya:

“Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi menfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan “.(Ar-Ra’ad: 17)

6.5 Merubah Realiti dan Manghapuskan Kemungkaran

Sesungguhnya rasa tanggungjawab untuk merubah realiti masyarakat yang buruk dan hina serta berselaput dengan segala adat lapuk tidaklah bererti terpaksa dirubah serta merta dan memerangi secara langsung atau memasuki medan pertentangan. Ini akan melibatkan para pendukugnya jatuh ke dalam satu pertarungan juz’iah yang mungkin memburukkan bentuk usaha dan amal Islami dan menjauhkan manusia dari para da’i malah membangunkan tembok penghalang di antara manusia dengan mereka tanpa menemui jalan kebenaran.

Janganlah disangka dengan meruntuhkan tempat yang dianggap manusia sebagai tempat keramat dan sakti akan dapat menghalang orang awam membuat perkara yang bertentangan dengan syariat Islam di sekitar tempat yang dianggap keramat itu atau akan menghalang mereka daripada membangunkan semula bangunan keramat seperti itu pada masa akan datang. Janganlah kita menyangka bahawa dengan meruntuhkan kedai-kedai arak dan tempat-tempat hiburan akan menghapuskan mungkar dan maksiat dan akan membersihkan masyarakat daripadanya.

Di zaman mutakhir ini ada kejadian di mana ada segolongan manusia meruntuhkan bebetapa bangunan hiburan dan kedai arak. Apakah yang terjadi sesudah itu? Para pendokong maksiat dan mungkar segera membangunkan semula bangunan-bangunan yang lebih hebat daripada sebelumnya. Mereka berkata: “Mereka meruntuhkannya      dan      merobohkannya      tetapi      Allah memperkembangkannya dan memperbaikinya”. Demikianlah pendokong maksiat dan mungkar dengan sombong dan berani mereka kepada Allah. Itulah yang dipropagandakan melalui suratkhabar.

Ini cuma satu contoh sahaja dan terdapat banyak lagi contoh-contoh yang lain dan lebih bahaya dari itu yang mesti kita berwaspada daripadanya. Kerana sesungguhnya merubah kemungkaran dengan cara seperti ini di dalam peringkat dakwah seperti sekarang ini bukanlah cara yang betul. Jangan pula disangka bahawa tanpa berbuat demikian kita redha menerima realiti yang buruk dan merosakkan itu ataupun disangka bahawa kita telah mengakui kemungkaran. Tiada faedahnya kalau berusaha memperbaiki cabang-cabang pada hal pokoknya telah rosak binasa.

Marilah layangkan pandangan kita kepada Rasulullah s.a.w. di dalam peringkat dakwah baginda di Mekah. Tidak mampukah baginda menyuruh sebahagian sahabatnya supaya meruntuhkan berhala-berhala yang berdiri di sekitar Ka’abah di Masjidil Haram itu dengan tujuan menghapuskan kemungkaran atau membunuh orang dari peminpin kufur untuk melemahkan kekuatan dan kekuasaan mereka. Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyuruh berbuat demikian di dalam marhalah itu kerana tindakan juz’iah seperti itu akan menambahkan kemarahan para pendokong syurik dan penyembah berhala yang sememangnya telah marah kepada Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Sebagai tindakbalas mereka nanti bersungguh-sungguh mencari orang-orang mukmin di setiap tempat untuk bertindak lebih keras lagi ke atas mereka dan terus membunuh mereka seluruhnya. Sedangkan orang-orang mukmin pada waktu itu baru merupakan benih yang lemah dan lembut. Kemudian para pendokong syirik dan berhala itu akan membangunkan semula berhala mereka di situ dan boleh jadi lebih baik daripada yang telah diruntuhkan. Tetapi Rasulullah s.a.w. menunggu waktu dan hari yang sesuai, barulah setiap berhala itu diruntuhkan tanpa menerima tentangan dan akhirnya mereka tidak bangun lagi sesudah itu. Ini terjadi setelah tentera mujahidin dari Madinah datang menawan kota Mekah pusat kufur dan jahiliah di tanah Arab itu. Setahun sebelum peristiwa besar itu berlaku, Rasulullah dan muslimin bertawaf di Baitullah padahal berhala itu masih berada di sekitar Ka’aah dan orang-orang kafir Quraisy berada di luar Mekah. Namun demikian Rasulullah belum lagi menyuruh sahabat-sahabatnya meruntuhkan barhala-berhala itu. Mengapa? Kerana belum tiba masa yang sesuai, tetapi kemudiannya berhala-berhala itu telah dimusnahkan apabila waktu yang sesuai:

“Dan katakanlah:  Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu sesuatu yang pasti lenyap”.(Al-Isra’:8)

Sepohon kayu yang besar dan keras batangnya, adalah bermula dari batangnya yang lembut dan beransur-ansur naik tinggi, kerana menurut hikmah yang dikehendaki Allah. Setiap kali ditiup angin kencang atau dipukul ribut taufan, dia melentok lembut dan condong bersama angin tetapi setelah ribut itu reda, dia akan tegak kembali. Waktu demi waktu dia beransur tumbuh dan membesar, akarnya terus menjalar di setiap penjuru, batangnya beransur besar dan keras sedikit demi sedikit dan condongnya pula berkurangan bersama tiupan angin sehingga tiba waktu sempurna kekuatan batangnya, kedalaman dan kejauhan jalaran akar umbinya dan mampu menghadapi angin dan ribut taufan. Di waktu itulah dia tidak akan patah dan tidak dapat dicabut oleh angin ribut. Cubalah kita fikirkan batang yang tinggi pada mulanya dan keras tentu mudah dipatahkan oleh angin ribut atau dicabut ribut. Demikianlah juga dakwah Islam di waktu tumbuh dan berkembangnya diperingkat lemah dan sedikit bilangannya, adalah tidak sesuai baginya menghadapi musuhnya dengan kekuatan dan kekerasan, tetapi mestilah dihadapi dengan kesabaran, ketabahan, ketahanan, redha menerima segala derita sehingga ia menjadi satu organisasi yang kuat.

Demikianlah pula sebaliknya, adalah tidak benar kalau kita paksa pokok yang telah keras batangnya untuk tunduk dan condong sebab yang demikian itu merbahaya kepadanya. Demikian juga halnya dengan harakah Islam, apabila dia telah kuat, tidaklah ia redha menerima taraf kedudukan yang lemah. Oleh kerana itu, di waktu itu telah turun firman Allah:

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai. Dan sesungguhnya Allah benar-benarMaha Kuasa menolong mereka

itu “.(Al-Hajj: 39)

6.6 Kesabaran, Ketahanan dan Penyampaian Dakwah

Gambaran ideal lagi benar dalam jihad di tahap permulaan dakwah tergambar di dalam kesabaran atas gangguan dan ketahanan di medan dakwah serta bersungguh-sungguh menjalankan dakwah. Proses ini kadangkala mengakibatkan istisyhad (mati syahid) sebagaimana yang terjadi kepada Yassir dan Sumayyah r.a. Tiga unsur yang sangat penting di peringkat pertama dakwah ialah sabar, tetap bertahan (istiqamah) dan menyampaikan dakwah. Itulah rahsia kehidupan dakwah Islam. Itulah sebab-sebab yang mengekalkannya dan mengembangkannya.

Sesungguhnya contoh-contoh kesabaran dan ketahanan seperti Yasir, Sumaiyah dan Bilal serta lain-lain sahabat Rasulullah s.a.w. telah membawa peranan penting dan utama untuk dakwah pada waktu itu. Dari sinilah kita sentiasa mendapat bekalan dan kekuatan yang mendorong kita meneruskan dakwah dan jihad setiap kali kita membaca sirah mereka.

Kelihatan pada zahirnya ada orang yang menyangka bahawa sikap tersebut sebagai sikap dan tindakan negatif. Sangkaan tersebut adalah salah kerana hakikatnya itulah kemuncak positif. Di dalam kesabaran, ketahanan dan terus menyampaikan dakwah, inilah pemberian, penanggungan dan penentangan terhadap pendokong kebatilan berkesudahan dengan kekakalahan mereka dengan kekuatan iman dan kekuatan akidah para penganut Islam di masa itu. Kekalahan sedemikian telah dirasai oleh Abu Jahal berhadapan dengan kesabaran dan ketahanan Bilal r.a.

6.7  Jihad dan Menjual Diri Kepada Allah

Sebahagian pemuda bertanya: “Selagi jihad itu perlu dan kita telah berjanji menjual diri dan harta kepada Allah, mengapa kita tidak berjihad dan menyerahkan harta kepada Allah?”. Saya jawab: “Sesungguhnya orang yang telah menjual diri dan hartanya kepada Allah, tidak berhak mengorbankan diri dan hartanya itu sebarang waktu dan amal yang dikehendakinya, tetapi mestilah pada waktu dan di dalam amal dan usaha yang telah ditentukan oleh syariat Islam. Sesungguhnya Allahlah yang mengira, yang mengarahkan bila, di dalam kerja apa, dan bagaimana kita menyerahkan jiwa dan harta kita. Sama ada di tengah-tengah gangguan, penindasan, penyiksaan, kesabaran dan ketahanan ataupun di tengah-tengah peperangan, jihad dan penentangan kepada musuh-musuh. Janganlah kita mudah didorong oleh sentimen, perasaan melulu atau terburu-buru mempercepatkan natijah serta buahnya lalu kita membuat kerja-kerja, usaha-usaha dan pertarungan yang juz’iah di mana kita mengorbankan jiwa dan harta kita tanpa membawa f aedah yang nyata untuk dakwah. Tindakan-tindakan begini membawa keuntungan dan menambah kekuatan para pendokong kebatilan. Satu dari pengertian indah di dalam masalah ini ialah sepotong kata-kata hikmah, “Orang yang telah menjual dirinya kepada Allah tidak berhak ke atas orang yang menyiksanya. Sesungguhnya Allahlah yang mempunyai hak ke atasnya sama ada Dia hendak mengampuninya ataupun menyiksanya”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: