Mustafa Masyhur – Jalan Dakwah : Marhalah At-Takwin: Pandangan dan Penerangan

BAB 4

Marhalah At-Takwin: Pandangan dan Penerangan

4.1 Berhenti Sejenak Di Antara Dua Marhalah

Kita telah terangkan bahawa dakwah mempunyai tiga marhalah: pengenalan, pembentukan dan pelaksanaan. Setelah kita sentuh marhalah taarif (pengenalan) dan sebelum memasuki marhalah takwin (peringkat pembentukan) kita merasa perlu berhenti sejenak untuk meneliti sudut-sudut kejiwaan dan persediaan perasaan yang mesti ada supaya cita-cita yang ingin dicapai dari marhalah takwin dan persediaan duat dapat dilahirkan dan diwujudkan di alam nyata atau dapat direalisasikan di muka bumi.

Sesungguhnya tugas, tanggungjawab dan agungnya cita-cita yang kita hendak bangunkan itu membuatkan kita sentiasa mengambilkira kepentingan menyediakan individu-individu muslim atau seberapa ramai pendokong dakwah yang ikhlas dan layak memikul amanah dan menunaikannya menurut rupa dan bentuk yang lebih sempurna, terutama setelah kita tahu bahawa membangunkan insan adalah penting dan lebih susah daripada membangunkan kilang-kilang.

Sesungguhnya tidak ramai yang layak memikul beban dakwah ini kecuali orang dapat meliputinya dengan segala jurusan, yang sanggup, mampu dan rela mengorbankan diri, harta, waktu dan kesihatannya untuk urusan dakwah dan tugas yang didokongnya. Tidak mungkin akan lahir kesungguhan, ketekunan dan usaha yang sebenarnya kecuali setelah dakwah itu menguasai akal dan fikirannya, sebati dengan jiwa dan hatinya, menjadi darah dan dagingnya, menjadikan semangatnya menyala-nyala dan sukmanya berkobar-kobar untuk merealisasikanya di dalam waqi’ al-amri (di dalam kenyataan hidup).

Lantaran al-iman al-amiq bi al-dakwah (iman yang mendalam terhadap dakwah) menjadi dasar yang pertama di dalam mencapai kejayaan. Kita memerlukan jiwa-jiwa yang hidup, yang kuat, yang muda belia, hati-hati yang baharu yang sentiasa berkobar-kobar, rasa cemburu yang sentiasa bemyala-nyala, jiwa-jiwa yang berinisiatif, lincah, segar bugar dan cergas. Kerana Islam menghendaki di dalam hati individu mempunyai sentimen dan perasaan yang mampu membezakan yang benar dan salah. Islam mahu supaya seseorang itu mempunyai kemahuan yang tinggi dan tegas seperti cekap dan tidak mengenal lemah, tidak bertolak ansur membela kebenaran lantas membela dengan segala kekuatan dan ketangkasan. Islam mahu penganutnya mempunyai badan yang sihat sejahtera dan mampu memikul berbagai-bagai tugas dan kewajipan Islam dan sebaik-baiknya, menjadi umat yang baik dan layak membuktikan kemahuan yang baik untuk menolong ke arah kebenaran dan kebaikan.

4.2 Marhalah At-Takwin da Persediaannya

Sesungguhnya marhalah di’ayah, (penerangan, memperkenalkan, menggambarkan tentang dakwah dan cara penyampaiannya kepada orang ramai dalam setiap lapisan masyarakat) jika tidak diiringi dengan marhalah at-takwin (peringkat pembentukan dan pemilihan para pendokong dan penolong terdiri dari golongan Ansar dan Hawariyyin) serta persediaan tentera dan mengatur taktik barisan dari kalangan orang-orang yang diseru, berkemungkinan menyebabkan segala usaha yang telah dikorbankan di dalam penerangan dan penyebaran dakwah menjadi sia-sia dan hilang begitu sahaja.

Kesedaran rohani yang lahir dari marhalah taarif (peringkat pengenalan) tidak boleh dibiarkan musnah dan padam begitu sahaja, tetapi mesti dibersihkan dan diarahkan ke dalam jiwa supaya bertindak dan berusaha membuat perubahan dan kemajuan yang sejati dalam diri sendiri. Medan yang pertama untuk pembentukan dan perubahan bermula dari dalam diri terlebih dahulu dan benarlah Allah Yang Maha Agung tatkala berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka “. (Ar-Ra’ad:ll)

Ramai di kalangan muslim yang kita seru pada hari ini telah dilahirkan dan dibesarkan di dalam masyarakat yang jauh dari hakikat Islam dan intisarinya, satu masyarakat yang dikuasai oleh adat dan tradisi yang telah rosak, yang telah meresapi jiwa mereka dan sebati dalam kehidupan mereka. Jadi para pendokong dakwah yang menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia kepada cara hidup Islam mestilah memberi perhatian dan usaha yang serius dalam: membersihkan diri mereka dari segala adat lapuk jahiliah lantas menghiasi diri mereka dengan adat-adat Islam, akhlak-akhlak Islam dan membentuk hidup manusia menurut acuan Islam dan cara hidup Islam.

“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah” (Al-Baqarah: 138)

Perubahan ini mestilah bermula dari dalam diri yang telah diberi minum dengan akidah tauhid, mengesakan Allah dan mengecapi halawatul iman (kemanisan iman) dan dapat dijelmakan pada seluruh anggota jasmani dan menguasai setiap aspek kehidupan. Marilah kita renungkan alangkah indahnya perumpamaan dan kata-kata yang telah diucapkan oleh Imam Hassan Al-Hudhaibhi rahimahullah mengenai pengertian ini tatkala beliau berkata:

“Tegakkanlah daulah Islam di dalam hatimu supaya dia tegak di atas bumi kamu ” .

4.3 Individu Muslim Yang Kita Kehendaki

Muslim hari ini mempunyai bilangan yang ramai tetapi tidak mempunyai mutu yang istimewa seperti muslim pada generasi pertama di zaman Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mampu merubah rupa dan suasana yang telah rosak. Lantaran itu mereka tidak mampu membangunkan daulah al-haq wal iman, tidak mempunyai mutu yang membolehkan mereka menghapuskan yang batil dan merealisasikan kebenaran dengan pertolongan Allah.

“Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya. Adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan “.(Ar-Ra’ad: 17)

Kita menghendaki dari saudara muslim yang benar supaya menjadi muslim yang sejahtera akidahnya, sihat ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, yang mempunyai usaha, yang sanggup berdikari yang berkorban untuk diri sendiri dan orang lain, sanggup memerangi hawa nafsu, yang menjaga waktunya dengan sebaik-ba’iknya, berdisiplin dalam segala urusannya dan Iain-lain lagi nilai-nilai yang asasi di dalam membentuk lelaki dakwah, pendokong dakwah.

Sesungguhnya mempersiapkan lelaki mithali yang sedemikian mutu dan bentuknya memerlukan usaha yang sungguh-sungguh, ketekunan yang berterusan, kesabaran dan ketabahan yang utuh. Muslim sedemikianlah yang akan mampu dan sanggup membangunkan rumahtangga Islam yang mulia. Dia kemudiannya akan bergerak, bertindak dan berusaha membangun masyarakat Islam. Lalu membentuk pandangan umum dan cara berfikir umum secara Islam dan terus membentuk teras (dasar) yang kuat, yang di atasnyalah dapat ditegakkan harakah Islam (gerakan Islam) sebagai benih bagi daulah dan khilafah Islam. InsyaAllah Taala.

Oleh kerana itu kita dapati imam kita As-Syahid Hassan Al-Banna Rahimahumullah memberikan perhatian yang sewajarnya kepada individu muslim dan berusaha mempersiapkannya. Langkah-langkah ini adalah mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w yang telah mempersiapkan angkatan mukmin yang pertama yang telah dibentuk di madrasah Rasulullah s.a.w yang kemudiannya membangunkan daulah Islam yang kuat, agung dan teguh.

Usrah-usrah, pasukan-pasukan, angkatan-angkatan, ceramah, forum-forum, majlis-majlis diskusi, pelajaran, perkelahan, pengembaraan, operasi ketenteraan, risalah-risalah, sebaran-sebaran, lembaran-lembaran suratkhabar dan majalah yang telah, sedang dan akan terus kita buat, semuanya itu dinamakan wasilah atau jalan dan alat untuk mempersiapkan individu muslim secara beransur-ansur di dalam persiapan ini. Ibaratnya seperti jurutera di dalam membangunkan bangunan. Bermula dari seorang anggota jamaah, kemudian manjadi pemuda yang berdisiplin, kemudian sebagai seorang pemuda yang beramal seterusnya menjadi anggota mujahid yang berjihad dan berjuang bersama jamaah Islam.

4.4 Ciri-ciri utama Seorang Al-Akh Al-Mujahid

Sesungguhnya al-akh mujahid yang berjuang dan berjihad, atau lelaki dakwah, pendokong dakwah mestilah mempunyai tahap pemahaman yang tinggi terhadap agamanya, kefahaman yang syumul, lengkap dan murni dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dia mesti mempunyai darjah keikhlasan yang besar supaya menjadi tentera dakwah, tentera akidah dan fikrah. Bukan tentera yang mengejar ganjaran dan tujuan kebendaan semata-mata, bukan angkatan yang semata-mata mencari kepentingan diri sendiri. Dia mengutamakan kerja dari perkataannya. Apa yang dikatakan itulah yang dikotakan setelah dia mengenali jalan dan mengikhlaskan niatnya kerana Allah semata-mata. Dia membulatkan dirinya untuk dakwahnya (dakwah Islam) dan membebaskan dirinya dari segala prinsip selain Islam dan dari manusia yang tidak menyetujui dakwah Islam. Lantas dia menyediakan dan melengkapkan dirinya untuk berjihad pada jalan Allah demi meninggikan kalamullah dengan mengorbankan segala yang mulia dan yang mahal dari jiwa, harta, waktu dan usaha.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka “.  (At-Taubah: 111)

Dia akan terus menerus berjihad dan berdakwah pada jalan Allah, menuju cita-cita walau berapa lama pun masa hinggalah dia terkorban di dalam jihad itu. Lantas ia mencapai salah satu kebaikan iaitu syahid atau mencapai tujuan dan cita-citanya.

“Di antara orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada yang menunggu-nunggu dan mereka tidak sedikitpun merubah (janjinya) “. (Al-Ahzab : 23)

Lelaki akidah dan tentera dakwah dituntut supaya melatih dirinya dan beriltizam mematuhi perintah pemimpin jamaah dan melaksanakannya di waktu senang atau susah, di waktu suka atau benci kerana sesungguhnya jalan dakwah itu adalah jihad yang tidak boleh berhenti dan tidak boleh dielakkan. Dakwah dan jihad adalah satu perjuangan yang berterusan untuk sampai kepada tujuan. Segala ujian dan dugaan yang hebat serta dahsyat tidak akan mampu diharungi kecuali oleh orang-orang yang benar. Tidak ada sesuatu yang boleh menjamin kemenangan kecuali ketaatan dan persaudaraan yang benar yang berdiri di atas cinta-menyintai dan kasih sayang di antara orang muslim yang lain. Tahap persaudaraan paling minima ialah terpelihara hatinya dari bersangka buruk terhadap mana-mana saudara muslim yang lain. Setinggi-tinggi tahap persaudaraan itu ialah mengutamakan saudaranya yang muslim lebih dari daripada kepentingan dirinya sendiri.

4.5 Perkataannya, Perbuatannya dan Jihad

Oleh kerana itu, kita lihat ramai lelaki yang hanya pandai berkata-kata bukan merupakan lelaki amal, lelaki amal bukan pula lelaki jihad dan lelaki jihad semata (jihad yang tidak benar) bukan merupakan lelaki jihad yang bijaksana yang mampu membawa hasil yang menguntungkan dengan pengorbanan yang paling sedikit.

Ini sesuai dengan apa yang telah diterangkan oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna di dalam Al-Ta’rif :

“Sesungguhnya ramai orang yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Tidak ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan kerja berat. Para mujahidin itulah angkatan yang terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Ada kalanya mereka itu silap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi inayah dan hidayah oleh Allah”.

Kisah Thalut menghadapi Jalut menjadi saksi dan bukti terhadap apa yang kita katakan ini. Bukalah Al-Quran dan bacalah tentang mereka di dalam ayat 246 hingga 252 Surah Al-Baqarah. Oleh kerana itu persiapkanlah diri anda, hadapilah dia dengan pendidikan yang sahih, yang benar dan periksalah dia dengan teliti dan ujilah dia dengan tugas-tugas berat dan kurang disukainya, yang susah dibuatnya dan berat dipikul. Latihlah diri menjauhi syahwat, menjauhi adat-adat dan kebiasaannya.

4.6 Sunnatullah Di Dalam Dakwah

Setelah kita beransur-ansur melalui peringkat-peringkat persediaan dan tarbiyah, sesuai dengan cara, alat dan segala kemungkinan menurut kemampuan yang ada pada kita sama ada individu atau jamaah, semuanya itu hanyalah sebagai batu-bata yang masih mentah. Setelah semuanya beres, berjalanlah di atas sunnatullah dengan ibtila’, ujian dan bencana untuk membersihkan dan membezakan di antara yang tulen dan palsu, antara yang benar dan yang dusta, di antara emas dan tembaga supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya.

“Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman. Pada hal mereka belum diuji, dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka supaya Kami mengetahui orang-orang yang benar atau orang-orang yang bohong.” (Ankabut: 2 – 3)

“Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, pada hal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. “Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersamanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat”.  (Al-Baqarah:214)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: